Alahai BLOGGER....


posted by Khairunnisa on

1 comment

Tiga ditahan ISA

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Fazallah Pit, Norakmah Mat Youb, Ifwan Tun Tuah dan Rudy Syareme Sheriffudin
bhnews@bharian.com.my


DARI kiri, Raja Petra Kamaruddin, Teresa Kok dan Tan Hoon Cheng

Penahanan mereka kerana bangkitkan isu perkauman

KUALA LUMPUR: Dua hari selepas memberi amaran akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pihak yang membangkitkan isu sensitif dan perkauman, kerajaan semalam melancarkan gerakan dengan menahan tiga individu.

Mereka yang ditahan ialah penulis blog, Raja Petra Kamaruddin; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang dihubungi lewat malam tadi mengesahkan penahanan ketiga-tiga mereka dibuat mengikut Seksyen 73 (1) ISA 1960 yang membolehkan mereka ditahan sehingga 60 hari.

Raja Petra, 58, ditahan sepasukan 10 anggota polis Bukit Aman diketuai Asisten Komisioner Md Yusof Che Me di rumahnya di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dekat sini, kira-kira jam 1.10 petang.

Tan, 33, ditahan di rumahnya di Alma, Bukit Mertajam kira-kira jam 8.30 malam, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, manakala Teresa Kok yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, ditahan di sini jam 11.20 malam tadi.

Ketiga-tiga mereka ditahan kerana mengancam keamanan, ketenteraman awam, menimbulkan isu berbaur perkauman dan kebencian rakyat, termasuk di kalangan umat Islam negara ini.

Dalam masa sama, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada tiga akhbar tempatan, The Sun, Sin Chew Daily dan Suara Keadilan, berhubung laporan mereka yang menyentuh perkembangan politik semasa.

Setiausaha Unit Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN, Che Din Yusof, berkata surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada The Sun kerana akhbar itu didakwa memanipulasi dan memainkan banyak isu sensitif; Sin Chew Daily pula kerana melaporkan kontroversi kenyataan berbaur perkauman membabitkan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail, manakala Suara Keadilan melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan lumpuh selepas menjalani pembedahan pintasan jantung.

Ketiga-tiga akhbar itu diberi masa seminggu untuk menjawabnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, mengesahkan penahanan Raja Petra dibuat selepas tindakannya menyiarkan artikel tertentu di laman web Malaysia Today, diyakini boleh menjejaskan keamanan dan ketenteraman awam.

Beliau menjelaskan penahanan Raja Petra mengikut Seksyen 73(1) ISA itu diputuskan polis berdasarkan bidang kuasa mereka, tanpa memerlukan tandatangannya. "Tindakan Raja Petra boleh menimbulkan kebencian dan pertelingkahan rakyat. Polis sudah memberi amaran dan nasihat kepadanya tetapi tidak dihiraukan.

"Jika polis berasa perlu menahannya lebih 60 hari, mereka akan rujuk kepada saya mengikut Seksyen 8 ISA yang membolehkannya ditahan sehingga dua tahun," katanya.

Penahanannya dikatakan berkaitan dua ulasan artikelnya bertajuk "I promise to be a good, non-hypocritical Muslim" yang menggunakan ayat-ayat yang menghina orang Islam selain membenarkan ulasan yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW untuk artikel 'Not all Arabs are descendants of the Prophets' yang disiarkan dalam laman web Malaysia Today.

Pada 6 September lalu, Syed Hamid memberi amaran Raja Petra mungkin dikenakan tindakan mengikut ISA kerana penyiaran artikel dan komen itu.

Sehari sebelum itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membuat laporan polis terhadap Raja Petra berhubung penyiaran artikel sama.

Ini kali kedua Raja Petra ditahan mengikut ISA. Kali pertama dia ditahan mengikut akta sama pada 11 April 2001 kerana terbabit dalam gerakan reformasi dan mengendalikan laman web FreeAnwar.com.

Tan ditahan kerana menulis laporan ucapan berbaur perkauman yang mengaitkan Ahmad.

Ahmad yang turut diuar-uarkan akan ditahan polis mengikut akta sama, pula ketika dihubungi malam tadi, enggan memberi sebarang ulasan tapi mengesahkan beliau tidak ditahan.

Lebih 50 orang termasuk wartawan dan pemimpin politik serta aktivis masyarakat berkumpul di pintu depan IPK Pulau Pinang dan sekitar 30 lagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah (SPT), sehingga awal pagi tadi.

Antaranya, Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Seri Chia Kwang Chye; Naib Presiden Gerakan, Datuk Teng Hock Nan; bekas Ahli Mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang, Teng Cheng Yeow dan bekas Ahli Dewan Undangan Machang Bubuk, Toh Kin Woon.

Syed Hamid berkata penahanan wartawan itu terpaksa dilakukan kerana laporannya menimbulkan masalah dan perpecahan dalam masyarakat.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), Hong Boon How, menyifatkan penangkapan wartawan itu sebagai tindakan keterlaluan polis.

Sementara itu, penahanan Teresa Kok dikaitkan dengan isu melarang azan dilaungkan di masjid dan surau di sekitar Kota Damansara, Sri Serdang dan Puchong Jaya serta menggantikan tulisan jawi pada papan tanda nama jalan dengan tulis Tamil, Cina dan Inggeris.

1 comment

  1. Anonymous

Leave a Reply

About

Blog Widget by LinkWithin