Ahli Pemikir & Agen Perubahan ?


posted by Khairunnisa on

3 comments


Kaum muda membuat sejarah dengan hati mereka.

Cendikiawan membuat sejarah dengan akal fikiran mereka.

Orang arif membuat sejarah dengan jiwa mereka.

Apabila hati, akal dan jiwa saling menunjang untuk membuat sejarah,

pasti sejarah tak akan pudar sinarnya dan tak akan padam obornya.

-Dr. Mustafa Assiba'i



Lihatlah dunia kita, pelbagai peristiwa dalam helaian sejarah telah terbuku. Menanti insan-insan pemikir membedah zaman lampau, mengurai misteri dan mencari jalan penyelesaian dalam masalah yang acap kali berlaku. Mereka ini insan yang tak pernah berhenti untuk berfikir, membuat analogi, kesimpulan, analisis dan kajian demi kajian. Saya ambil contoh, ahli pemikir sejarah pernah membahaskan, wanita sebagai punca utama kejatuhan sesebuah negara, hatta sesebuah tamadun. Ahli arkeologi pula, sanggup menggadai nyawa, tetap cuba menyingkap rahsia sejarah sebuah artifak usang, yang bagi mereka tidak ternilai harganya.


Sejarah, satu subjek yang bukan praktikal, tapi perlu di fahami, hingga “meletakkan” diri di suatu peristiwa untuk di teliti. Ramai yang mengkaji tentang sejarah, dan ramai juga yang “seronok” memanipulasi sejarah. Setitik dakwat mampu membuat sejuta manusia berfikir tentangnya.


Fikirkan tentang dirimu. Jika satu bangsa telah mula berfikir, tidak ada satu kekuatan pun yang boleh menghentikannya -Voltaire


Bukan mudah untuk memanipulasi sebuah sejarah yang telah “hidup” berabad lamanya dalam jejak tinggalan zaman. Ini bermakna, mereka juga ahli pemikir, yang kreatif memesongkan fakta. Mereka adalah dari golongan manusia yang kecewa dengan ketentuan Pencipta, lantas memberontak dan hidup dalam bayangan Perosak Laknatullah.


Tidak kah kita dapat simpulkan, mereka yang mensyukuri erti hidup untuk memberi, berusaha untuk mahu kehadapan, menjejak zaman lampau untuk membina suatu tamadun yang hebat di masa depan. Dan, mereka yang kecewa dengan Pencipta, tetap berusaha untuk merosakkan jejak silam, dan membina sebuah tamadun yang gelap. Selebihnya adalah golongan yang pemalas, duduk termagu, membingung, berkhayal dan hanya tahu berteka teki hingga membiarkan masalah menjadi barah.


Bagaimana pula dengan kita?


Kita hanya membaca hasil kajian mereka, tetapi tidak turut serta mencetus buah fikiran. Kita membeli keluaran ciptaan dan karya tulisan mereka, tapi tidak cuba untuk membina empayar sendiri. Mereka mengkaji, kita hanya melihat. Sesekali “angguk-angguk, geleng-geleng”. Kita pernah mencetus rangkaian idea yang hebat, tapi sayang, bila sampai ke tahap pelaksanaan, kita kurang mampu. Bak kata bijak pandai terdahulu , menulis sepuluh jilid buku mengenai falsafah lebih mudah daripada melaksanakan sepotong pesanan.


Apa yang perlu di lakukan, jelaskan semula matlamat, bina semula kesatuan. Agenda perlu perangkaan rapi. “Kalau agenda anda tidak ditulis, anda tidak mempunyai agenda sama sekali” – Gerald A. Michealson. Ini bermakna, anda mungkin hanya mempunyai impian, visi atau mungkin hanya mimpi buruk.


Perlu diingat, jika anda mengaku seorang agen perubahan, anda perlu tahu bahawa agenda dan pelaksanaan tidak boleh di asingkan. Seseorang hanya boleh di iktiraf menjadi agen perubahan bila selesai di peringkat pelaksanaan. Tidak kira berjaya atau hampir berjaya, di sana telah tercetusnya usaha.


“Anda tidak tahu bagaimana musuh anda? Bertempurlah dan cari. Serangan yang penuh keyakinan hanya dapat ditentukan setelah beberapa lama bertempur. Serangan percubaan (pada kali pertama) bukanlah pertempuran yang berasingan, tetapi ia merupakan serangan awal. Lancarkanlah formasi terhadap keseluruh barisan hadapan musuh, maka anda akan kenali bentuknya (masalah & musuh)” - Strategis Eropah – Kapten Johnstone, 1916.


Moga kita dapat baiki kelemahan yang ada hingga mampu mencetus gagasan idea yang selaras dengan peringkat pelaksanaan.







"Aku meragui, lantas aku berfikir. Aku berfikir lantas ku temui diri !"

Cetusan pendapat hamba Allah,

DGSITIKHAIRUNNISAISMAIL

JERAM, PASIRPUTIH, KELANTAN.

1200am 11JUN2009



3 comments

Leave a Reply

About

Blog Widget by LinkWithin