9 putar belit dalam The Jewel of Medina


posted by Khairunnisa on

1 comment

http://kawat.blogspot.com/
-Penulis : Nazmi Yaakub

UMAT Islam selalu dikaitkan dengan emosional apabila membantah penghinaan dan serangan terhadap Islam termasuk Rasulullah, isteri baginda dan para sahabat. Mereka yang berdemonstrasi, membantah dan menggesa pihak yang menghina itu dikenakan tindakan atau bahan penghinaan diharam serta ditarik balik, sering dituduh bersikap tergesa-gesa tanpa terlebih dulu membaca atau menyelidiknya. Ini berlaku pada novel The Satanic Verses oleh Salman Rushdie atau kartun menghina Nabi Muhammad oleh kartunis Belanda atau filem Fitna oleh ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders. Rasanya tidak ramai yang membaca The Satanic Verses, melihat kartun atau menonton filem Fitna. Yang terbaru ialah novel cereka (baca: putar belit) sejarah, The Jewel of Medina karya pengarang Amerika Syarikat (AS), Sherry Jones, yang memutarbelitkan sirah Aisyah Abu Bakar, isteri kepada Rasulullah saw. Oleh kerana The Jewel of Medina sehingga sekarang tidak dapat diterbitkan selepas penerbit asalnya, Random House, menarik balik pengedaran dan penerbit BeoBook terpaksa membatalkan rancangan penerbitan di Serbia, maka tidak ramai yang dapat membaca novel itu. Bagaimanapun, laman web Islamonline.net memaparkan contoh penyelewengan sirah Rasulullah dan putar belit sejarah Aisyah itu apabila penulis tetapnya, Marwa Elnaggar membuat kritikan karya terhadap The Jewel Of Medina. Islamonline.net mendapat satu naskhah daripada pengarangnya, sekali gus memberi peluang kepada Marwa untuk membacanya. Penyelewengan yang paling ketara ialah pada babak mengisahkan Aisyah difitnah melakukan perbuatan sumbang dengan Safwan ibnu Al-Mu’tall selepas terpisah daripada rombongan perang Rasulullah sekembalinya daripada Peperangan Bani Musthaliq yang lebih dikenali sebagai peristiwa Hadith al-Ifki. Marwa menegaskan penyimpangan fakta itu berpunca daripada tindakan pengarang mengetepikan dokumentasi kisah sebenar daripada Aisyah sendiri, sebaliknya menyalahgunakan lesen artistik untuk mengada-adakan cerita yang sama sekali tidak wujud semata-mata bertujuan menarik perhatian pembaca. Antara penyelewengan paling ketara:-

1.
Versi The Jewel of Medina:
Sebelum perkahwinan Aisyah dengan Rasulullah, beliau sudah pun bertunang dengan Safwan.

Versi sebenar: Semua sumber sirah menunjukkan Aisyah bertunang dengan Jubayr ibn Mut`im.

Keterangan: Plot The Jewel of Medina mengada-adakan elemen pertunangan Aisyah dengan Safwan menambahkan kompleksiti dalam plot yang mungkin mahu memberikan kesan dramatik dalam cerita.

2.
Versi The Jewel of Medina:
Aisyah menyemai cinta dengan Safwan sejak dari zaman kanak-kanak. Walaupun selepas berkahwin dengan Rasulullah, perasaan Aisyah masih tidak hilang kepada Safwan. Pada masa sama, Safwan pula sering menggoda Aisyah, mendesaknya untuk melarikan diri bersama-samanya untuk hidup sebagai Badawi seperti yang dikhayalkan sejak zaman kanak-kanak.

Versi sebenar: Tidak ada mana-mana sumber sirah dan sejarah yang menunjukkan hal ini terjadi baik daripada riwayat ahli sejarah Islam atau sejarawan Barat sendiri.

Keterangan: Hal ini jelas semata-mata untuk mengukuhkan plot The Jewel of Medina supaya setiap babak mempunyai kaitan sebab dan akibat seperti yang diperlukan dalam sebuah karya kreatif. Pengarang sudah tentu sengaja mengada-adakannya dengan mengenepikan fakta sirah dan sejarah kerana pengarang sendiri mengakui mengkaji lebih 10 sumber sejarah.

3.
Versi The Jewel of Medina:
Safwan mengenali Aisyah kerana mereka berdua berkomplot untuk melarikan diri daripada Nabi Muhammad selepas melalui musim romantik.

Versi sebenar: Aisyah menegaskan Safwan mengenalinya kerana pernah melihatnya sebelum wahyu turun yang mewajibkan isteri Rasulullah untuk menutup wajah mereka.

4.
Versi The Jewel of Medina:
Aisyah pulang ke Madinah dengan membonceng kuda yang ditunggangi Safwan dengan tangannya memeluk pinggang lelaki itu, manakala pipinya disandarkan ke bahu Safwan.

Versi sebenar: Aisyah pulang ke Madinah dengan menaiki unta Safwan dengan sahabat Rasulullah itu menarik tali unta berkenaan, manakala sesetengah versi pula mengatakan Safwan berada jauh di belakang unta Aisyah tanpa dapat melihat isteri Rasulullah itu, tetapi cukup untuk memastikan unta tidak tersesat.

5.
Versi The Jewel of Medina:
Semasa Aisyah menunggang unta itu masuk ke Madinah, orang ramai berteriak kepadanya dengan menjeritkan, “Penzina!” kepadanya.

Versi sebenar: Aisyah tidak menyedari api fitnah yang menjalar kerana ditimpa keuzuran sehinggalah akhirnya sampai ke telinganya dalam satu insiden yang tidak lama kemudian.

Keterangan: Babak itu diada-adakan memang bertujuan mewujudkan kesan dramatik dalam The Jewel of Medina.

6.
Versi The Jewel of Medina:
Semasa kecil sehingga berkahwin, Aisyah dikurung di dalam rumah kerana kedudukan wanita tidak dihormati pada zaman Jahiliyah.

Versi sebenar: Meskipun zaman Jahiliyah merendahkan martabat wanita, tidak ada fakta sejarah yang menyokong keterangan dalam The Jewel of Medina kerana kakak kepada Aisyah sendiri, Asma’, yang menjadi pengembala kambing. Malah, penggunaan kostum purdah sendiri tidak wujud pada zaman awal Islam, apatah lagi purdah sendiri bukan perkataan Arab.

7.
Versi The Jewel of Medina:
Aisyah melahirkan reaksi kurang senang terhadap wahyu yang mewajibkan isteri-isteri Nabi perlu menutup wajah mereka.

Versi sebenar: Sekali lagi, tidak ada fakta sejarah yang melahirkan perasaan kurang senang isteri-isteri Nabi terhadap sebarang wahyu yang turun. Apa yang terjadi adalah, meskipun ada hal yang menimbulkan kurang senang di kalangan mereka, apabila wahyu turun, mereka akan menerimanya dengan hati yang terbuka.

Keterangan: Reaksi yang sengaja diada-adakan ini tidak lebih daripada latar belakang pengarang sebagai penulis Barat kerana mana-mana wanita yang menulis di bawah kerangka post-feminisme abad ke-21 hanya menganggap keberanian dan keperwiraan sudah tentu perlu dengan menentang ketetapan berkenaan.

8.
Versi The Jewel of Medina:
Cara umat Islam menghormati Rasulullah ialah dengan tunduk (bow) kepada baginda, sama ada oleh para sahabat atau pun isteri Nabi termasuk Aisyah.

Versi sebenar: Penghormatan dengan cara menunduk atau sujud dilarang secara keras dalam Islam termasuk dalam satu hadis Rasulullah yang secara terus-terang melarang perbuatan itu. Ini memperlihatkan kejahilan Jones terhadap Islam meskipun dia mengakui banyak membuat kajian terhadap agama Islam.
Barangkali tidak perlu semua orang membaca novel itu sebelum menyertai mana-mana bantahan terhadap penyelewengan dan putar belit yang dibuat. Walaupun secara idealnya, semua orang perlu mengetahui tetapi tidak mungkin ia dapat direalisasikan termasuklah dalam dunia moden.

Yang perlu ada ilmuwan, sarjana, sejarawan, pengkritik atau mungkin sasterawan yang membaca novel itu untuk menyampaikan kritikannya terhadap novel berkenaan supaya umat Islam yang lain mengetahui isu yang sebenar.

Atau anda mempunyai pandangan tersendiri terhadap novel sebegini?

Rujukan: When Sherry Jones Writes About ‘A’ishah oleh Marwa Elnaggar


di sediakan oleh:

Perindu Ramadhan,
Khairunnisa,
11.00 pm
26 Ogos 08
APIUM
http://qalamhazin.blogspot.com

1 comment

Leave a Reply

About

Blog Widget by LinkWithin