Kelmarin, saya menghadiri kuliah Cikgu Nik Abdullah untuk subjek Pendidikan Kewarganegaraan. Di awal sessi pengajaran, Cikgu Nik menyuruh kami menyediakan sekeping kertas kosong. Beliau berkata "ok tuan-tuan, sekarang sila senaraikan ciri-ciri tersebut" sambil menuding jari ke arah soft board. Kami pun dengan semangatnya melihat ke arah soft board dan terus ketawa. Arahan Cikgu Nik itu berbunyi " Ciri-ciri PEROMPAK yang cemerlang" ??. Nampaknya Cikgu Nik ingin menguji kami sekali lagi seperti kelas-kelas sebelum ini.
Otak saya pun ligat berfikir sambil membayangkan andai diri ini seorang PEROMPAK, bagaimanakah agaknya saya akan berjaya menjadi seorang PEROMPAK yang cemerlang dan hebat. Lucu juga bila di fikirkan. Setelah menyenaraikan 10 ciri-ciri Perompak yang cemerlang, Cikgu Nik pun mula membaca satu persatu sambil tersenyum-senyum. Kemudian Cikgu Nik menyuruh kami memotong perkataan "PEROMPAK" tersebut dan di tukar menjadi "PELAJAR". Wah..tak sangka hampir keseluruhan ciri-ciri yang saya tulis untuk PEROMPAK tadi sesuai dengan ciri-ciri bagi seorang PELAJAR cemerlang.
Antara ciri-ciri yang saya senaraikan untuk PEROMPAK yang cemerlang :
1. Bijak mengatur strategi
2. Sentiasa berwaspada
3. Pandai memilih kawan
4. Cepat dan tangkas dalam melakukan kerja
5. Mempunyai kerjasama yang baik dalam organisasi
Di sana, kita sendiri boleh fikir. Andai seorang PEROMPAK tidak bijak dalam mengatur strategi, dengan sekelip mata sahaja mereka akan tumpas di tangan pihak berkuasa. Begitu juga hal nya dengan seorang PELAJAR. Andai saja seorang PELAJAR tidak bijak mengatur strategi untuk berjaya, mereka tidak akan sampai kemana-mana.
Ini bukan bermakna saya nak menyamakan taraf seorang PEROMPAK CEMERLANG dengan taraf seorang PELAJAR CEMERLANG dan saya tak bermaksud untuk mengajar kalian untuk menjadi seorang PEROMPAK. Cuba kita fikir "out of box". Bagi seorang PEROMPAK, mereka sudah pasti bertungkus lumus untuk menipu, membelot dan mempertaruhkan nyawa hanya untuk mendapatkan habuan yang sangat besar dan lumayan, dan bagi seorang PELAJAR pula mereka perlu bertungkus lumus untuk belajar bersungguh-sungguh, fokus ketika dalam kuliah dan terpaksa berpisah dengan keluarga tercinta hingga merentasi Laut China Selatan semata-mata untuk menuntut ilmu. Apa agaknya yang saya ingin cuba bawa para pembaca fikirkan ?
Suka saya nak meninggalkan persoalan bagi para pembaca, apakah ada bezanya bagi seorang PELAJAR yang PEMALAS dengan seorang PEROMPAK yang BERJAYA? Fikir-fikirkan. =) Mari kita renungkan maksud sepotong ayat Al-Quran yang berbunyi ;
" Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang di berikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya." (al Baqarah ; 269)
Sekiranya ada jawapan yang bermain-main di fikiran anda, sila lah kongsi bersama pembaca yang lain. Ianya amat saya alu-alukan.
Khairunnisa
APIUM, Nilampuri, Kelantan
17 Julai 2008
11.42 pm
http://qalamhazin.blogspot.com
posted by Khairunnisa on Tazkirah
Entri yang sangat menarik. Saya lihat adanya beberapa persamaan antara perompak cemerlang dengan pelajar cemerlang adalah kerana keperluan mencapai matlamat (tidak kira matlamat baik atau buruk). Mereka berbeza cuma pada bentuk matlamat akhir itu samada kebaikan atau keburukkan.
Saya katakan antara perbezaan pelajar pemalas dan perompak berjaya... Pelajar pemalas tidak bersungguh-sungguh mencapai matlamat manakala perompak berjaya pula sebaliknya. Namun kedua-duanya tidak menggunakan akal untuk mengambil pengajaran baik.